Ucapan Untuk Pengantin Baru



Assalammualaikum W.R.
Salam sejahtra,
Bismillah Hi Rahamanirrahim,
Yang berusaha Pengacara Majlis,
Yang berbahagia Dato’-Dato’, Datin-Datin,Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
Alhamdulillah, saya dengan penuh hormat dan takzim memanjatkan kesyukuran kehadap Illahi kerana telah mengurinakan kepada tetamu yang hadir dengan kesihatan, rahmat dan kelapangan masa di dalam kesibukan bulan Syawal , bagi membolehkan tetamu sekalian hadir sama ke Majlis Walimatul Urus anakanda kami
Norul Fadizlah binti Haji Basri
dengan pasangan
Muhammad Alif Farhan bin Abd Jalil
pada hari yang bersejarah dan permai ini yang mana Majlis Akad Nikah telah pun disempurnakan di R & R Bistro pada hari Jumaat petang semalam.
Tetamu-tetamu yang dihormati,
Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan taufiq dan inayahNya maka rancangan majlis ini menjadi kenyataan. Di ke sempatan ini saya aji Basri bin Haji Mukri, isteri Puan Hajah Kamariah bte Hj Moos dan bagi pihak keluarga ibu Muhammad Alif Farhan bin Abd Jalil, Puan Rozy binti Husin dengan sukacita mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu kerana sudi hadir dalam majlis pada hari ini. Saya tidak berhasrat berucap lebih panjang, dari itu saya ringkaskan ucapan dengan ungkapan dan pantun,
Wahai anakanda kesyangan ayah
Mendengar nasihat jangan menyalah
Dalami oleh mu petua amanah
Supaya hidup mu beroleh berakah

Wahai anakanda kekasih ibu
Mendengar nasihat janganlah jemu
Didalamnya banyak terkandung ilmu
Untuk menjadi bekal hidup mu

Anakanda berdua, ingat pesan orang tua, adat orang bersuami isteri,   

Dalam pahit manis sama dirasai
Dalam surut ada pasangnya
Dalam susah ada senangnya
Dalam sempit ada lapangnya

Kalau sedikit sesudu seorang
Kalau banyak sesenduk seorang
Kalau tebu seruas seorang
Kalau durian seulas seorang

Payung satu sama berteduh
Perahu satu sama menyebrang
Tikar satu sama ditiduri
Selimut satu sama dikongsi

Kalau sempit sama berhimpit
Kalau lapang sama berlegar
Kalau ke laut sama basah
Kalau ke darat sama kering

Kalau dapat sama laba
Kalau cicir sama rugi
Kalau lupa ingat mengingatkan
Kalau salah baik membaikkan

Kalau untung sama-sama timbul
Kalau malang sama-sama tengelam
Kalau di depan sama-sama menang
Kalau di belkang sama-sama kalah

Kalau berat sama-sama dipikul
Kalau ringan sama-sama dijinjing          
Kalau bukit sama-sama didaki
Kalau lurah sama-sama dituruni

Kuat akar kerana tanahnya
Kuat berdiri pohon akarnya
Kuat akar kerana tunjangnya
Kuat tunjang kerana akarnya

Waktu berlalu dan datang
Waktu diguna tidak diajar        
Pagi tidak dibuang
Senja tidak dikejar

Ayam disalai cara golekkan
Sudah masak baru dihidangkan
Dah bulat baru digolekkan
Dah pipih baru dilayangkan

Ibu bapa masih perlu di ingat
Ingatan di beri sebagai tanda
Sedikit tanda ingat
Banyak tanda ada

Mendengar nenek suka bercerita
Kisah derhaka kepada ibu bapa
Segala nasihat dan juga kata
Harus di renung jangan di lupa

Dato’-Dato’, Datin-Datin,Tuan-Tuan,Puan-Puan dan hadirin sekelian.

Kami sekeluarga dan keluarga pengantin lelaki dalam bulan yang baik ini mengucapkan Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin jika terdapat
Kalau bersalaman wajah tak pandang
Kalau ada nama tersalah sebut
Kalau ada gelaran tersalah ucap
Kalau ada duduk yang salah tempat

Menyedari hakikat bahawa


laut mana yang tidak bergelora,
langit manakah yang sentiasa cerah,
bumi mana yang tidak ditimpa hujan,

maka dalam majlis ini biasanya

ada yang termasin dan ada pula yang termanis,
ada yang kurang dan ada pula yang terlebih,
ada yang tersusun ada pula yang terurai,

lantaran itu
Tanjung Puteri nama dahulu
Iskandar Puteri nama terkini
Maaf dipinta terlebih dahulu
Segala kekeurangan majlis ini

Kerja di dusun satu hari
Sampai gelap terlupa makan
Kami menyusun sepuluh jari
Salah silap harap maafkan

Dari mata turun ke hati amat dirasa
Menimbulkan segunung rasa cinta
Jika ada terkasar bahasa
Tidak yang lain maaf juga dipinta

Kehadiran tetamu-tetamu kehormat dan para hadirin lah yang sesunguhnya telah menjayakan dan menyerikan lagi majlis pada hari ini. Jika saya ungkapkan rasa terima kasih saya ini dengan kata-kata sudah tentu panjang berjela-jela, justeru itu penghargaan yang tinggi hanya saya simpulkan  dengan rangkaian pantun juga.

Buah pauh mari di kerat           
Alamat petang boleh dimakan
Pada yang jauh dan juga dekat
Selamat datang kami ucapkan

Ramainya datang rakan taulan
Kerana memenuhi undangan kami
Atas kedatangan tuan dan puan
Sangatlah berbahagia hati kami

Menyusur pantai kain diangkat
Melihat kapal berlabuh ditepi laut
Tetamu datang jauh dan dekat
Lama tak jumpa mesra terpaut

Seiring madah pantun bersambut
Halwa telinga tanpa nan jemu
Mesra berdakap kasih terpaut
Semadi di kalbu bertandangnya tamu

Ribuan terima kasih juga dari kami diatas semua bantuan yang diberikan oleh segala pihak bagi menjayakan Majlis Akad Nikah dan majlis pada hari ini. Budi dan jasa saya serah kepada Allah SWT.

Terima kasih daun keladi,
kerana sudi menolong kami,
kalau ada kesulitan nanti,
diharap sudi bantulah lagi.

Tetamu yang dihormati.

Semuaga kehadiran Dato’-Dato, Datin-Datin dan Tuan-Tuan, Puan-Puan di Iskandar Puteri ini menjadi kenangan. Saya akhiri ucapan dengan bebrapa rangkap pantun,

Indah matahari terbenam waktu petang
Di Puteri Harbour laut luas terbentang
Terpukau keindahan semasa mula datang
Kami ucapkan tetamu selamat pulang

Menyusur pantai terjumpa berlian
Rupanya mimpi di awal pagi
Selamat pulang hadirin sekalian
Panjang umur bertemu lagi

Di Hotel Jen saling berkenalan
Baru kenal hati sudah tersemat
Selamat tinggal kawan dan taulan
Hati-hati memandu biar selamat

Iskandar Puteri terletak di muara
Indah sekali di pandang mata
Menyusun jari di akhir bicara
Silap dan salah maaf dipinta

Ada hulu ada muaranya
Ada kepala ada ekornya
Ada mula ada akhirnya
Ada awal ada penyudahnya.

Sekian, Assalamulaikum WBT. Terima kasih.
Hotel Jen, Puteri Harbour, Johor Bahru,
#Ella&Alif Pada 30.06.2018




Semua gambar-gambar:

Hotel Jen Puteri Harbour Johor Bahru
R&R Bistro Johor Bahru